Sunday, October 18, 2009
Pesanan Malaikat supaya berbekam dan rahsianya.
Dari 'Abdullah bin Mas'ud r.a., beliau berkata:
"Rasulullah saw pernah menyampaikan sebuah hadis tentang malam di mana baginda s.a.w. diperjalankan bahawa baginda s.a.w. tidak melalui sejumlah Malaikat melainkan mereka semuanya menyuruh baginda s.a.w. dengan mengatakan 'Perintahkanlah umatmu untuk berbekam".
(Shahih Sunan at-Tarmidzi)
Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidaklah aku melalui satu dari langit-langit yang ada melainkan para Malaikat mengatakan 'Hai Muhammad, perintahkan umat mu untuk berbekam, kerana sebaik-baik rawatan yang kalian gunakan untuk berubat adalah berbekam..."
(Kasyul Astaar 'an Zawaa-idil Bazar)
Jelas sekali bahawa dengan berbekam adalah merupakan kaedah rawatan yang sangat baik sehingga Malaikat meminta supaya Nabi Muhammad s.a.w. memerintahkan umatnya berbekam.
Berbekam ialah dengan mengeluarkan atau melimpahkan darah kotor iaitu sel darah yang melebihi usia sepatutnya serta mengandungi segala bahan buangan badan. Darah ini berkumpul di bawah kulit dan ianya pekat kerana mengandungi pelbagai bahan buangan dan berwarna gelap kerana kekurangan oksigen. Darah ini dapat dikenalpasti apabila berbekam dengan warnanya yang gelap dan terlalu mudah untuk membeku.
Darah yang pekat ini merbahayakan kepada kesihatan kerana boleh menyekat perjalanan darah dipembuluh-pembuluh darah yang halus. Oleh itu, mengeluarkan darah ini sangat penting untuk menghindarkan komplikasi seperti lenguh-lenguh kerana otot kekurangan oksigen, sakit kepala, migrain, pening kerana kekurangan darah beroksigen ke kepala dan malahan boleh menghindarkan strok kerana pembuluh darah seni di kepala pecah kerana tersekat oleh darah-darah yang tidak dikehendaki ini.
Nabi Muhammad s.a.w. sering berbekam di kepala apabila baginda s.a.w. mengalami sakit kepala malahan apabila baginda terminum racun dan terkena sihir juga.
Dengan berbekam sistem imuniti badan akan bertambah kuat kerana darah akan menyembuhkan dan mencegah jangkitan di tempat yang dibekam. Malahan Nabi s.a.w. dan para sahabat berbekam dengan menggunakan pisau belati yang pastinya lukanya besar berbanding dengan kaedah moden ketika ini yang menggunakan jarum. Luka yang besar ini membuatkan darah bekerja lebih kuat untuk menyembuhkan luka tersebut dan menghindarkan jangkitan. Oleh itu, sistem imuniti badan akan bertambah. Tidak hairanlah jika para sahabat hebat dalam berperang kerana ketika itu berperang dengan menggunakan senjata tajam dan luka dari senjata tersebut mudah sembuh dan jangkitan boleh diminimakan kerana mereka sudah biasa dengan luka sedemikian hasil dari selalu berbekam. Terapi berbekam sebegini perlu untuk memastikan sistem imuniti badan sentiasa di tahap yang lebih baik
Darah yang hilang akibat berbekam akan diganti oleh sum-sum tulang badan dengan darah yang baru. Darah baru ini lebih segar dan mampu membawa oksigen dan nutrien dengan lebih efisien ke seluruh badan. Seterusnya dengan oksigen dan nutrien yang cukup, organ manusia akan bertambah segar dan kerosakan tisu boleh diperbaiki dengan lebih baik. Seterusnya kesihatan orang yang sering berbekam akan juga sentiasa bertambah baik. Insya Allah
Wallahu'alam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment